Assalamualaikum. Salam sejahtera, salam perpaduan, & salam 1 Malaysia..
Alhamdulillah, Segala Puji Hanya Bagi Allah, Tuhan sekalian Alam Semesta.
Atas izinnya, akhirnya tinta dapat menerbitkan sebuah blog yang selama ini sangat diidamkan berikutan kekangan masa yang menyebelahi untuk berkongsi cerita meskipun ilmu yang mapan & bermanfaat kepada kita semua.
Memperkenalkan diri tinta. Seorang yang hanya insan biasa di muka bumi Allah SWT ini. Dilahirkan dan dibesarkan di bumi Borneo yang kaya dengan alam saujana flora dan fauna. Seorang mahasiswa asasi semester terakhir dan insyaAllah akan menyambung pengajian ke ijazah pertama pada bulan Mei 2013 di Universiti Teknologi Petronas. Abang kepada seorang adik perempuan yang comel. Berasal daripada keluarga yang hidup bersederhana dan biasa-biasa saja. Gemar membaca buku dan menyanyi kerana idol penyanyi utama ialah penyanyi nombor 1 negara Datuk Siti Nurhaliza. Al-Quran dan Hadith jadi pegangan hidup. Hidup berprinsipkan "KEJAYAAN DALAM GENGGAMAN!".
Pada nukilan yang pertama ini, ingin sekali penulis ingin membahasa diri sebagai TINTA kerana penulis merasakan panggilan tersebut lebih sesuai dan lebih harmoni dalam konteks pembungaan bahasa yang sememangnya indah semerbak bunga-bunga di taman syurga. Tinta berasa sangat berbangga & bersyukur kerana tinta dilahirkan di dunia ini dengan nikmat ISLAM dan diserikan dengan BAHASA MELAYU yang sangat indah dan penuh dengan budi bahasa yang sangat tinggi sekali.
Untuk nukilan yang pertama ini, tinta ingin berkongsi secebis ilmu yang mungkin bermanfaat kepada semua pembaca dan berharap agar dapat semua pembaca dapat mengambil beberapa input agar dapat menjadi output yang lebih baik daripada sebelum ini.
Tajuk untuk nukilan tinta yang pertama bertajuk 6 ALASAN MESTI BERIBADAH. Kenapa tinta memilih tajuk ini? Bagi tinta, sebagai seorang hamba sahaya yang beragama Islam, kita seyogianya tahu mengapa Allah menyeru hamba-hambanya agar mengerjakan ibadah kepada-Nya. Sudah pastinya balasannya adalah pahala dan ganjarannya ialah Syurga yang pasti dan hakiki kelak. Dalam nukilan yang pertama ini, tinta berharap agar kita dapat menghayati 6 alasan ini atas hasil pembacaan tinta dan dengan seribu jari menaip di papan kekunci dengan sejuta semangat untuk berkongsi ilmu yang bermanfaat ini kepada semua pembaca yang sangat tinta hormati dan sanjungi. Semoga manfaat dapat diperoleh.
________________________________________________________________________
(Dipetik daripada Diari Islamiah 2013 1434-1435)
6 ALASAN MESTI BERIBADAH
Ibadah ialah tanda penyerahan diri di atsa iktikad yang telah kita putuskan iaitu sebuah pengabdian diri mengikut syariat Islamiah setelah kita menyakini dengan iman dan mengucap dua kalimah syahadah.
Walaupun ada dalam kalangan kita menyedari perihal keimanan dan betapa pentingnya beribadah namun di hati masih lagi liat atau ragu-ragu hendak melaksanakan syariat Islamiah. Dari itu membayangkan kecacatan iman. Masih terdapat sisa-sisa kerosakan di hati.
Mari kita lihat 6 sebab kenapa kita mesti beribadah. Mudah-mudahan mampu memotivasikan diri dan memberikan kesedaran yang berbekas.
1. Memahami dan mendalami tentang penciptaan kita oleh Allah SWT di atas dunia ini. Kita hidup untuk sekian lamanya kemudian kita dimatikan. Kita sihat untuk beberapa ketika, kemudian kita menghadapi keuzuran akhirnya putus nyawa!
Allah SWT tekah menjawab persoalan penciptaan kita di dunia ini,
"Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya beribadah kepada-Ku." (Surah Adz-Dzaariyat:56)
Oleh itu, tugasan utama kita tidak lain tidak bukan ialah mengabdikan diri untuk melakukan ibadah dan mentaati Allah SWT. Kita perlu menegakkan syariat Islamiah dalam kehidupan sehari-harian. Pendek kata Islam itu cara hidup yang meliputi sistem siasah kehidupan duniawi.
2. Setelah diberikan nikmat seperti hembusan hafas, udara yang bersih, bernyawa, bernadi, berlapang dada, kurniaan rezeki, tubuh sihat, kurniaan harta, berpasangan, melahirkan zuriat, dikeluarkan dari kesusahan, lepas bebas dari halangan dan sebagainya. Sudah tentulah kita telah berhutang kepada yang memberikan segala macam tersebut. Dat zat yang mampu memberikan segala-gala tersebut lain tidak bukan hanyalah Dia; Tuhan Rabul Alamin.
Segala nikmat kurniaan Allah SWT amat besar dan tidak terhitung. Cuba kita bilang berapa kalikah dan berapa lamakah sedari kita bayi hingga sekarang jantung kita mengepam darah di dalam tubuh? Tanpa degupan jantung itu pula pada hukum adatnya kita akan mati!
Sekarang tugas kita ialah mesti bercakap benar, menjadi saksi di ats kebesaran Allah SWT tersebut dengan bersyukur kepada-Nya. Itu baru dinamakan makhluk yang soleh, baik hati lagi taat. Bukannya menjadi seorang penderhaka, pendusta dan suka berbuat kejahatan.
Justeru, kita perlu beribadah tanda syukur di atas nikmat dan kurniaan Allah SWT.
3. Barangkali kita sudah lupa, sedangkan kita telah berjanji di hadapan Allah SWT tatkala di alam roh lagi iaitu tatkala sebelum kita dimasukkan ke dalam jasad lalu lahir sebagai manusia ke dunia.
Firman Allah SWT di dalam Surah Al- A'raf: 172 bermaksud,
"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam dari (tulang) belakang mereka, dan ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (Firman-Nya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka menjawab: Benar, kami menjadi saksi..."
4. Orang beriman sudah pasti beriktikad putus dengan kehadiran nabi dalam kalangan manusia. Bahkan nabi yang kita bicarakan adalah pesuruh Allah SWT yang diberi gelaran Rasulullah SAW.
Nabi Muhammad SAW yang begitu akrab, sentiasa mendapat keampunan, didikan langsung dari Allah SWT, bahkan seorang yang maksum itu pun tidak terlepas dari pujukan syaitan dan terdedah dengan pelbagai dosa!
Semestinya kita memperkuat dan memperkukuhkan diri dengan melakukan ibadah yakni dengan mengikuti syariat Rasulullah SAW pada siang dan malam, setiap detik, setiap ketika waima tatkala keluar dan masuknya nafas!
"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul: Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut. Maka di antara mereka ada yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula yang ditimpa kesesatan. Maka mengembaralah kamu di bumi, lalu lihatlah bagaimana buruknya akibat orang yang berdusta." (Al Nahl: 36)
5. Tiada yang berkuasa ke atas sekalian makhluk kecuali Allah SWT. Dialah yang mengatur segala kehidupan; sistem planet; perjalanan bintang, bullan dan matahari, pemberi rezeki, pelindung yang sempurna dan penenang hati yang bergelora.
Maha Suci Allah Yang Maha Sempurna, Maha Berkuasa maka tiada lain bagi yang layak disembah melainkan Allah SWT.
Justeru kepada-Nyalah seluruh jasad, jiwa raga perlu dipersembahkan. Maka kita perlu mengerjakan amal ibadah terhadap Allah sahajalah.
6. Seperkara harus di ingat, Allah SWT telah banyak memberikan peringatan kepada kita; bahawa Dia-lah yang empunya dunia ini. Dialah yang menciptakan segala-galanya. Tiada sesuatu perkara berlaku tanpa pengetahuan dan keizinan-Nya.
Allah SWT pengatur kehidupan yang paling sempurna. Maka tidak terkecuali, Allah SWT jugalah telah melengkapkan aturannya kepada manusia dengan menyampaikan hukum syariat yang telah dicontohkan dan disampaikan oleh Rasulullah SAW.
Sebagai pelengkap sistem tersebut, Allah SWT telah memberi banyak amaran dan ancaman kepada mereka yang ingkar dan hukum-Nya.
Kita dijadikan adalah untuk menjadi saksi kesempurnaan sifat ketuhanan dan kehebatan Allah SWT. Kemudian setelah itu kita kembali taat dan patuh dengan melakukan amal ibadah. Jadi, kepada mereka yang ingkar atau menyimpang dari jalan-Nya, Allah SWT telah menyediakan sebuah azab yang amat pedih dan memeritkan. Seksaan yang mengerikan sedang menanti kepada mereka yang cuai dan mengabaikan amal ibadahnya! Di akhirat kelak api neraka menjulang-julang nyalaannya hendak menyambar orang yang ingkar, berdusta, menderhaka dan mereka yang tidak mahu beramal ibadah kepada Allah SWT!
Gambaran seksaan dapat diperhatikan melalui firman-Nya,
"(Iaitu) pada hari dibakar emas dan perak itu dalam Neraka Jahannam, lalu diselar pada dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu." (At Taubah: 9)
Oleh itu, seharusnya orang-orang beriman berakhlak seperti mana digambarkan di dalam surah Al An'am: 15:
"...Sesungguhnya aku takut jika aku derhaka kepada Tuhanku, (akan dikenakan) azab hari yang besar (hari Kiamat)."
_________________________________________________________________________________
Sekadar itu sahaja yang tinta boleh kongsikan kepada semua pembaca yang disayangi dan disanjungi sekalian. Tinta berharap agar dengan secebis ilmu ini mampu memberi 1001 input ke dalam process kehidupan dan menjadi output yang berguna kepada kita semua.
Wallahu'alam...