Friday, 26 February 2016

MOTIVASI MENUJU SYURGA #1 - BERBUAT BAIK

Assalamualaikum. Salam Bicara. Salam Jumaat. 

Alhamdulillah. 

Berbuat Baik. 

In shaa Allah, hari ini saya ingin berkongsi sedikit mengenai sebuah kisah terpilih berdasarkan buku Motivasi Menuju Syurga: 50 Kisah-kisah Terpilih. Dengan membawa tema Berbuat Baik, in shaa Allah saya bawakan kepada semua sebuah kisah tentang Nabi Yusuf dan saudaranya. 

Nabi Yusuf & Saudaranya

Setelah saudara-saudara Yusuf a.s. berjaya melakukan tipu muslihat dan membawabeliau keluar kota serta melemparkan beliau ke dalam perigi, ayah mereka (Nabi Ya'kub a.s.) selalu menangis dan bersedih.

Bertahun-tahun setelah kejadian itu, saudara-saudara Nabi Yusuf tahu bahawa beliau telah menjadi raja di Mesir. Mereka pun datang ke Mesir bersama ayahnya. Kalimah pertama yang diucapkan Nabi Yusuf kepada mereka adalah: "Tuhanku telah berbuat baik padaku, dengan mengeluarkanku dari penjara."

Dalam pada itu, Nabi Yusuf a.s. tidak menyinggung penderitaan beliau tatkala dilemparkan ke dalam perigi, lalu menjadi hamba yang diperjual belikan. Itu dikeranakan beliau tidak ingin saudara-saudara beliau berasa malu dan membangkitkan kembali kenangan pahit masa lalunya. Beliau lalu berkata: "Syaitanlah yang telah mempengaruhi saudara-saudara saya untuk melakukan kejahatan kepada saya dan melemparkan saya ke dalam perigi, sehingga ayah harus berpisah dengan saya selama bertahun-tahun. Tetapi Allah yang Maha Suci berfirman bahawa perbuatan jahat mereka merupakan awal kemuliaan dan kebesaran kami."

Juga merupakan satu kemuliaan Nabi Yusuf a.s. ketika perbuatan jahat itu beliau nisbahkan dengan syaitan dan menegaskan bahawa sebab utama terjadinya tindakan kejahatan itu adalah syaitan. Sehingga, saudara-saudara beliau tidak berasa malu dan memiliki alasan dalam meminta maaf kepada beliau.

Kemudian, Nabi Yusuf a.s. berkata kepada mereka: "Hari ini saya tidak akan melakukan balas dendam kepada kamu. Jangan khuatir, saya telah memaafkan semua yang terjadi dan saya juga memohon kepada Allah agar mengampuni segala kesalahan kamu. Sebab, Dia Maha kasih di antara para pengasih." Tidak diragui lagi, bahawa, "Sesungguhnya barangsiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka Allah tidak akan mensia-siakan pahala orang-orang yang melakukan kebaikan. Ini merupakan pengajaran berharga yang diberikan Nabi Yusuf a.s. kepada kita semua. Beliau membalas kejahatan yang dilakukan oleh saudara-saudara beliau dengan kebajikan. Semoga kita dapat bersikap seperti itu kepada saudara kita seagama."

Ibrah yang kita boleh dapati daripada kisah Nabi Yusuf a.s. di atas ialah:
  1. Keluarga adalah aset utama dalam kehidupan kita. Janganlah mengaibkan mereka di khalayak ramai kerana ianya sama seperti kita mengaibkan diri kita sendiri kerana kita adalah sebahagian daripada keluarga itu. Semua perbuatan buruk itu adalah punca daripada bisikan syaitan yang mahu menyesatkan orang-orang yang beriman.
  2. Jadilah orang yang bersabar kerana sabar itu adalah separuh daripada keimanan.  
  3. Maaf adalah sebuah kuasa yang boleh menyembuhkan segala persengketaan. Walau apa pun yang menimpa ke atas diri kita, buangkan lah rasa dendam dan maafkan lah kesalahan orang itu. Ingat, kebaikan dibalas dengan kejahatan adalah perbuatan zalim. Tetapi, kalau kejahatan dibalas dengan kebaikan, itu adalah perkara mulia dan terpuji. 

Wallahu 'alam. 

Sekian.

~~~

Reference:
Abdul Wafi & Muhammad Najib (2014), 50 Kisah-Kisah Terpilih, Pustaka Ibnu Kathir Sdn, Bhd, halaman 11-12.