Saturday, 28 June 2014

MUNAJAT CINTA ILAHI

Assalamualaikum w.b.t.
Salam sejahtera, salam 1Malaysia, salam 1Akidah dan salam 1Ukhuwah.

Salam 1 Ramadhan. :)

Munajat Pujuklah Rasa Kesyukuran

Ya ALLAH...
ENGKAU ciptakan kami daripada segumpal darah
ENGKAU ciptakan kami menjadi segumpal daging
ENGKAU ciptakan kami dari tulang-menulang
ENGKAU ciptakan kami menjadi manusia
Kini hati kami ENGKAU hidupkan.

ENGKAU tiupkan roh di hati kami
Hingga kami menjadi manusia yang sempurna
Yang mampu melihat
Yang mampu mendengar
Yang mampu berkata-kata
Yang mampu berasa.

Demikian sempurna ENGKAU ciptakan kami
Hingga kami lupa bahawa kami diciptakan oleh-MU
Demikian sempurnanya ciptaan-MU ini
Hingga kami tak menyedari
Bahawa kami hanyalah ciptaan-MU
Hingga kami tak merasa
Bahawa diri kami diciptakan daripada ketiadaan
Hingga kami tak menyedari
Bahawa kami diciptakan hanya daripada setitis air yang hina.

Duhai Yang Maha Sempurna
Saat ini kami mengakui
Bahawa ENGKAU yang menghidupkan kami
Bahawa ENGKAUlah yang memberikan penglihatan kami.

ALLAH humma ya ALLAH
Inilah kami yang sentiasa lupa
Bahawa hiudp kami adalah untuk-MU
Mata kami adalah milik-MU
Telinga kami adalah milik-MU
Jiwa kami adalah milik-MU.

Duhai TUHAN Pemilik langit dan bumi
Duhai Pemilik semesta raya.

ALLAH humma ya ALLAH
Kami bersyukur kepada-MU
Alangkah banyak nikmat
Yang ENGKAU curahkan kepada kami
ENGKAU beri kami nikmat iman
ENGKAU beri kami nikmat Islam
ENGKAU beri kami nikmat ihsan
Tetapi sedikit sangat syukur kami kepada-MU.

Wahai ALLAH Yang Maha Bijaksana
Ampuni kami yang hanya bersyukur
Apabila mendapat kesihatan
Apabila mendapat makanan
Apabila mendapat harta
Apabila mendapat jawatan
Apabila mendapat penghargaan
Apabila mendapat keturunan
Tetap tak pernah bersyukur jika mampu melaksanakan
Solat berjemaah, bersedekah, berzakat
Berpuasa dan berhaji.

Ya ALLAH
Kami tak pernah bersyukur dengan memiliki Nabi Muhammad
Tak pernah bersyukur menjadi umat Nabi Muhammad
Tak pernah bersyukur bahawa kami dilahirkan sebagai Islam
Tak pernah bersyukur bahawa kami telah dikurniai Iman.

ALLAH humma ya ALLAH
Ilhamkan kami kesyukuran menerima nikmat-MU
Terlalu sedikit syukur kami dibanding rahmat-MU
Terlalu sedikit doa kami dibandingkan berkah-MU
Kami hanya ingin bersujud ya ALLAH
Kami ingin bersyukur ya ALLAH
Maka terimalah sujud ini
Sebagai ungkapan rasa syukur kami
Dan ungkapan permohonan ampun kami.

Ya ALLAH Yang Maha Menggenggam Jiwa
Izinkan permintaan kami
Redhai amal ibadah kami
Tanpa redha-MU semua tak beerti
Tanpa redha-MU semua tak bermakna.

Ya Samii Ya Basir
Ya Zaljalaali wal Ikram
Wahai ALLAH Yang Maha Hidup
Wahai ALLAH Yang Maha Pemberi Nikmat
Kami berlindung dengan keagungan-MU
Kami berlindung dengan kemuliaan-MU
Kami berlindung daripada lupa mengingati dan menyebut nama-MU
Serta berpaling daripada mensyukuri-MU.

Ya ALLAH
Limpahilah kami
Hati yang penuh kesyukuran
Ucapan yang penuh kesyukuran
Langkah yang penuh kesyukuran
Kerana kami mengakui tanpa pimpinan-MU
Kami lemah
Kami lalai
Kami hina.

Ya ALLAH
Hari ini kami mengakui
Bahawa ENGKAUlah sebesar-besar Pemberi Kurnia
Kami bersyukur ya ALLAH
Atas bumi yang ENGKAU hampakan
Atas langit yang ENGKAU tinggikan
Atas gunung yang ENGKAU pancangkan
Atas alam semesta yang ENGKAU bentangkan
Atas bintang-bintang yang ENGKAU taburkan.

Ya ALLAH
ENGKAU sebaik-baik Pemberi Nikmat
KAU pancarkan sinar matahari
KAU tumbuhkan pepohonan
KAU hidupkan haiwan-haiwan.

Ya ALLAH
Sungguh kami sering lupa
Mensyukuri hidup kami
Mensyukuri setiap helaan nafas kami
Mensyukuri apa pun yang ENGKAU berikan.

Ya Rahman Ya Rahim
Ajari kami untuk sentiasa mensyukuri
Hal yang kecil dalam pandangan kami.

Ya Rabb
Kabulkan segala doa permohonan kami

ALLAH humma ya ALLAH
Kirimkan salam kami
Kepada Nabi Muhammad
Kami mencintainya
Kami menyayanginya
Beri kami kesedaran untuk bersyukur
Seperti syukurnya Nabi Muhammad-MU
Beri kami kekuatan untuk sentiasa mensyukuri-MU.

Ya Rahman
Kami hanya hamba-hamba yang mengabdi pada-MU
Kami hanya hamba-hamba
Sebagaimana bumi yang berputar
Bersama bulan, mentari dan galaksi.

Ya ALLAH
Kami hanya hamba-hamba
Seperti halnya para malaikat yang mengabdikan diri.

Ya ALLAH
Beri kami kekuatan
Agar kami mampu mengajari
Anak-anak kami untuk sentiasa bersyukur
Pasangan hidup kami untuk sentiasa mengucap syukur
Keluarga kami agar menjadi ahli syukur.

Ya ALLAH
Kami sedar hidup kami singkat
Kam sedar hidup kami sementara
Kerana itu curahkan ke dalam hati kami iman
Tenteramkan kami dengan mengingati-MU
Duhai ENGKAU kekasih hati
Duhai Ar Rahman Ar Rahim.

Robiah K. Hamzah, 2012.

P/S: Tinta ingin mengucapkan Salam Ramadhan kepada semua umat Islam dan semoga kita semua memperoleh kejayaan hingga ke syurga-Nya. Nantikan lembaran yang menarik dari tinta sepanjang Ramadhan ini. :) 

No comments:

Post a Comment